Perjanjian di antara umat Islam dan bukan Islam.
Perjanjian ini merupakan salah satu daripada tiga perkara yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW ketika sampai di Madinah. Iaitu selepas membina masjid dan menyatukan umat Islam dengan mempersaudarakan kaum Muhajirin dan kaum Ansar.
Tujuan perjanjian ini dibuat adalah untuk menentukan atau menggariskan peraturan-peraturan dalam kehidupan umat Islam dan menerangkan hubungan di antara umat Islam dan bukan Islam khususnya kaum Yahudi di Madinah. Perjanjian ini juga merupakan dasar-dasar yang perlu dipatuhi bagi mengukuhkan dan menjamin keharmonian bagi sebuah negara Islam yang baru dibentuk. Perjanjian ini melibatkan kaum Muhajirin, kaum Ansar dan kaum Yahudi di Madinah. Semua masyarakat di Madinah dapat menerima perjanjian ini kerana ia meliputi semua hak-hak umat Islam dan bukan Islam.
Antara syarat-syarat yang terkandung dalam perjanjian ini adalah sebagaimana berikut:
1. Penyatuan umat Islam tanpa membeza-bezakan antara satu sama lain.
2. Pesamaan hak dan taraf sesama manusia.
3. Bekerjasama dalam menentang kezaliman dan permusuhan dan melindungi negara daripada musuh.
4. Menerima perdamaian dengan musuh sekiranya ada kebaikan dan kepentingan kepada umat Islam.
5. Memerangi orang luar merupakan peraturan am bagi negara dan ditegah dari menerima perlindungan dan pertolongan daripada mereka.
6. Masyarakat Madinah perlu saling melindungi di antara mereka dan menentang kezaliman serta membela nasib orang yang dizalimi.
7. Orang bukan Islam mempunyai hak kebebasan ke atas agama dan harta mereka dan tidak memaksa mereka memeluk agama Islam serta tidak merampas harta mereka.
8. Orang bukan Islam juga perlu memberi sumbangan dalam perbelanjaan dan kebajikan negara sebagaimana sumbangan yang diberikan oleh umat Islam.
9. Kebebasan untuk berpindah-randah.
10. Asas kerjasama di antara masyarakat Madinah adalah dibangunkan di atas dasar membuat kebaikan dan ketakwaan dan bukannya di atas dasar membuat kejahatan dan dosa serta permusuhan.
Pengajaran dan iktibar yang dapat kita ambil daripada perjanjian ini ialah asas sebuah negara Islam adalah dibangunkan di atas dasar keadilan kemasyarakatan. Sesunguhnya kebenaran, keadilan dan bekerjasama dalam membuat kebaikan dan ketakwaan sesama manusia serta menentang kejahatan dan keburukan dalam masyarakat adalah menunjukkan syariat-syariat yang telah dilaksanakan oleh negara Islam.
Sunday, April 6, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment